Search

GRS tidak mahu terbabit sebarang cubaan jatuhkan kerajaan

January 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menjelaskan pendiriannya untuk tidak membabitkan diri dalam sebarang cubaan bagi mengambil alih Kerajaan Perpaduan persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tindakan seumpama itu hanya menjerumuskan negara ke arah kekacauan dan menyebabkan keadaan yang tidak stabil.

“Kita sudah ada sebuah kerajaan persekutuan yang berfungsi dengan baik dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri kita, jadi kenapa kita mahu menggoyangkan bot,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Menteri Sabah itu turut mempersoalkan motif dan niat mereka yang melakukan ‘Langkah Dubai’, yang dilihat untuk memenuhi agenda politik sendiri semata-mata tanpa mempedulikan kebajikan rakyat.

“Kita bekerja untuk kemakmuran negara dan rakyat, kita tidak menyokong sebarang gerakan yang akan menyebabkan negara tidak stabil.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, jadi siapa yang mahu menjadi Perdana Menteri sepatutnya tunggu saja Pilihan Raya Umum (PRU) untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka,” katanya.

Hajiji turut mengulangi pendirian GRS yang menyokong penuh dan memberi sepenuh keyakinan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memimpin Malaysia yang berbilang kaum ke arah kemakmuran. – Info X