Search

Wanita sesat di Bukit Nuluh Lapai diselamatkan

January 10, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila gagal menemui jalan keluar ketika mendaki di Bukit Nuluh Lapai, Jalan Gayang, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 38 tahun kemudian menghubungi bomba untuk meminta bantuan sebelum dia berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima laporan terdapat seorang wanita tersesat di kawasan rekreasi Bukit Nuluh Lapai ketika menjalankan aktiviti mendaki bukit (hiking), jam 6.41 petang.

Katanya, wanita itu dipercayai memulakan hiking di kawasan bukit berkenaan kira-kira jam 5 petang, seorang diri.

Bagaimanapun katanya, wanita terbabit tersasar dari laluan yang disediakan ketika hendak pulang.

Pasukan bomba mengiring mangsa turun dari Bukit Nuluh Lapai, Jalan Gayang, Tuaran. – Foto/Bomba

“Pasukan bomba bertindak mencari mangsa dan menemuinya di kawasan laluan bukit.

“Mangsa dalam keadaan selamat dan diiring sehingga turun ke Pos Kawalan Bomba (PKB),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada 8.10 malam tadi,” katanya. – Info X