Search

Polis rampas dua senapang, peluru

January 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis merampas dua laras senapang buatan sendiri selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai, Jalan Kalabakan, Tawau semalam.

Serbuan jam 12.05 tengah hari oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama anggota Balai Polis Bombalai turut merampas tiga butir peluru jenis penabur.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemui satu laras senapang jenis bakakuk dan senapang guli serta tiga butir peluru.

Susulan itu, katanya seorang lelaki berusia 60 tahun ditahan dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku bahawa senapang berkenaan adalah miliknya.

“Suspek turut mengaku senjata itu dibeli daripada seorang lelaki asal Lawas, namun tidak ingat nama dan rupa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Senapang bakakuk, guli dan peluru yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Merotai, Jalan Kalabakan, Tawau.

Menurutnya, peluru yang dirampas diperolehi daripada rakan suspek.

“Siasatan masih diteruskan termasuk mengenalpasti individu yang terbabit dalam menjual senapang berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya. – Info X