KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas sebanyak 445 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM250,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Oriental, Penampang, hari ini.
Serbuan jam 6.20 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menahan dua lelaki termasuk pemilik rumah berkenaan.
Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan serbuan seterusnya membuat pemeriksaan ke atas rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,132,800 batang rokok atau 445 karton rokok pelbagai jenis disyaki tidak bercukai.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM250,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, berikutan rampasan itu, pasukan serbuan menahan dua lelaki iaitu pemilik rumah berusia 48 tahun dan seorang pekerjanya warga Filipina berusia 26 tahun.
“Hasil penelitian polis percaya rumah berkenaan dijadikan stor penyimpanan rokok tidak bercukai.
“Soal siasat juga mendapati suspek mendapatkan bekalan rokok tidak bercukai dari beberapa kawasan seperti Lawas, Labuan dan Penampang.
“Suspek kemudian mengumpul barangan berkenaan di rumah itu sebelum dijual di kawasan Sinsuran dan bandar raya ini,” katanya.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai di negeri ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X