PUTATAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandu melanggar belakang kereta Perodua Myvi lalu terbabas dan terbalik berhampiran lampu isyarat simpang Klinik Kesihatan Putatan, Jalan Papar – Kota Kinabalu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.05 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang parah tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati Kedua-dua kenderaan datang dari arah yang sama menuju ke pusat bandar raya Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba kenderaan pacuan empat roda telah melanggar sebuah kereta dari arah belakang sehingga kedua-duanya terbabas ke arah kiri bahu jalan.
“Akibat daripada pelanggaran itu, pemandu pacuan empat roda tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, manakala pemandu sebuah kereta iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun hanya mengalami cedera ringan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Pemandu kereta yang cedera ringan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
“Polis ingin menasihatkan orang awam supaya berhati-hati ketika memandu di jalan raya,” katanya. – Info X