Search

Lori sampah terbalik, pemandu maut

January 13, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang pemandu lori pengangkut sampah maut apabila kenderaan dipandunya terbabas lalu terbalik berhampiran SK Sentosa Jaya, di sini, pagi tadi.

Mangsa Mohamad Izuan Mambasang, 39, yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 11 pagi.

“Kemalangan membabitkan sebuah lori pengangkut sampah yang didapati terbabas dan terbalik.

“Pemandu tersepit sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Manakala dua mangsa lagi dilaporkan cedera dan selamat telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pemandu lori pengangkut sampah maut apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kinabatangan. – Foto/Bomba

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari,” katanya. – Info X