TUARAN: Anak kepada Ketua Menteri Sabah, Mohd Reza Hajiji menafikan beliau terbabit dengan kegiatan dadah terbesar di negeri ini seperti yang tersebar di media sosial.
Mohd Reza juga menafikan yang beliau kini turut menjadi buruan polis dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas.
Berikutan itu, beliau hadir membuat laporan berhubung tersebarnya laporan mengaitkan dirinya dengan kegiatan dadah itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran petang tadi.
Dalam laporan polis itu, Mohd Reza menafikan tuduhan mengaitkan dirinya adalah antara individu yang menjadi buruan polis kerana terbabit dengan kegiatan dadah.
Beliau berkata, tuduhan dan fitnah yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp mengaitkan beliau dengan kegiatan itu sama sekali tidak benar dan hanya memburukkan namanya.
“Semua dakwaan terhadap saya yang mengaitkan dengan kegiatan dadah adalah tidak berasas serta menjejaskan reputasi dan nama baik diri serta keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) mengesan dalang yang menyebarkan tuduhan tidak berasas itu.
Sebelum ini, tular satu rantaian mesej mendakwa anak sulung Ketua Menteri Sabah itu turut terbabit dalam kartel dadah di Sabah yang baru baru ini ditahan dan disiasat polis.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan berkata polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini yang aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu sejak 2015. – Info X