TAWAU: Kadar jenayah indeks di daerah ini mencatatkan penurunan pada tahun lalu iaitu berada di bawah paras 800 kes berbanding lebih 1,000 kes bagi tempoh sama dicatatkan tahun 2022.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, indeks jenayah di daerah ini bagi tahun 2023 hanya mencatatkan sebanyak 795 kes.
Katanya, statistik dari sudut jenayah yang dirujuk untuk siasatan pada tahun lalu menunjukkan penurunan ketara iaitu sebanyak 3,382 kes, berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah itu adalah mengikut kajian dan laporan yang diterima menerusi Integrated Police Reporting System (IPRS) pada tahun 2023.
“Justeru, statistik itu membuktikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menurunkan indeks jenayah tahun lalu apabila mencatatkan kes di bawah paras 800 kes,” katanya pada sidang media sempena Majlis Apresiasi IPD Tawau, di Bilik Mesyuarat IPD Tawau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes yang melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tawau pula menunjukkan tahap yang memuaskan apabila berjaya meningkatkan tangkapan dan rampasan.
Katanya, rekod tangkapan yang dilakukan oleh JSJN IPD Tawau pada tahun lalu ialah sebanyak 1,421 orang membabitkan 1,384 kes atas pelbagai kesalahan.
“Daripada jumlah itu, 24 kes telah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melibatkan sebanyak 38 orang tangkapan.
“Kejayaan rampasan dadah jenis syabu juga menunjukkan peningkatan tahun lalu iaitu sebanyak 50.6 kilogram (kg) berbanding tahun sebelumnya hanya 22.4 kg, manakala ganja pula 19.4 kg,” katanya.
Jasmin berkata, jenayah dadah adalah salah satu sasaran IPD Tawau dan fokus utama adalah kes-kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta rampasan dadah berskala besar.
“Kejayaan yang dilakar oleh IPD Tawau menunjukkan komitmen penugasan pegawai dan anggota polis dalam mengambil tindakan ke atas pesalah jenayah di daerah ini.
“Saya mengucapkan syabas kepada semua pegawai dan anggota yang sudah membuktikan keberkesanan operasi yang dijalankan oleh IPD Tawau,” katanya.
Sementara itu, mengenai majlis apresiasi ini, beliau berkata, ia bertujuan memberikan penghargaan kepada semua ketua-ketua bahagian IPD Tawau dan ketua polis balai atas pencapaian yang ditunjukkan dalam menjaga keamanan di daerah ini.
“Selain itu, kita juga memberi penghargaan kepada petugas media yang banyak membantu IPD Tawau menyampaikan mesej dalam usaha memerangi jenayah di daerah ini,” katanya.
Terdahulu, Jasmin menyampaikan sebanyak 37 sijil penghargaan terdiri 18 ketua-ketua bahagian IPD Tawau dan ketua polis balai serta 19 petugas media pelbagai agensi di daerah Tawau. – Info X