Search

Menteri arah jurutera JKR, syarikat konsesi pantau jalan rosak di Sabah

January 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya di Sabah diarah memantau keadaan kerosakan semua jalan raya di negeri ini bagi memudahkan tindakan susulan.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata arahan itu sudah dimaklumkan kepada Pengarah JKR Sabah untuk disebarkan kepada semua jurutera daerah dan syarikat konsesi.

Beliau turut meminta agar laporan pemantauan dan kerosakan jalan raya sentiasa dikemas kini bagi memudahkan pengurusan dan permohonan peruntukan untuk melaksanakan kerja pembaikan.

“Saya sudah meminta Pengarah JKR mengarahkan semua jurutera daerah dan jurutera penyelengaraan jalan serta syarikat konsesi penyelengaraan jalan untuk sentiasa proaktif memantau keadaan jalan raya di bawah jagaan mereka dari semasa ke semasa.

“Laporan keperluan hendaklah sentiasa dikemas kini untuk tujuan pengurusan dan keperluan memohon peruntukan tambahan sekiranya ia menjadi kekangan keperluan kerja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam maklum balasnya berhubung isu kerosakan jalan raya di Kampung Jaya Baru, Kinabatangan yang tular di media sosial sebelum ini.

Jalan yang menjadi sebahagian laluan Lebuhraya Pan Borneo itu dipenuhi banyak lubang menyebabkan air bertakung hingga kelihatan seperti kolam, berikutan hujan berterusan di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata beliau sudah membincangkan isu itu dengan Pengarah JKR Sabah semalam dan mengarahkan pihak konsesi untuk menggerakkan pasukan dan jentera kerja ke kawasan yang terbabit untuk melakukan kerja pembaikan.

“Jalan di Kampung Jaya Baru itu adalah termasuk di dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang akan dinaik taraf dijangka bermula tahun ini.

“Keadaan struktur jalan memang sudah uzur dan hanya dapat dipulihkan dengan melaksanakan kerja menaik taraf secara major melalui pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Keadaan cuaca yang basah akibat musim hujan dengan jumlah trafik yang tinggi terus memberi tekanan kepada struktur jalan yang sudah lama melebihi had tempoh reka bentuknya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sementara menanti pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di kawasan itu, pihak JKR melalui syarikat konsesi diarah melakukan kerja penyelenggaraan dan pembaikan berkaitan. – Info X