Search

Tidak pulang rumah selepas berkebun, lelaki ditemui meninggal dunia

January 16, 2024

Info X Reporters

TAMPARULI: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam kebun di Kampung Ruhiang, di sini, tengah hari tadi, selepas tidak pulang ke rumahnya sejak pagi tadi.

Mangsa Lotimin Maun, 59, dipercayai keluar menuju ke kebun di kampung berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi untuk aktiviti berkebun dan kebiasannya akan pulang pada 6.30 pagi.

Bagaimanapun mangsa tidak pulang sehingga jam 8 pagi menyebabkan ahli keluarganya cuba mencari sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan membantu mengangkat mangsa di kawasan kebun Kampung Ruhiang, Tamparuli, jam 3.20 petang.

Katanya, sepasukan bomba kemudian digerakkan ke tempat kejadian kira-kira 14 kilometer dari balai bomba.

Anggota bomba dibantu keluarga mangsa mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – Foto/Bomba

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat kejadian.

“Pasukan bomba kemudian mengangkat mayat mangsa menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 4.30 petang. – Info X