Search

Rempuh belakang kenderaan sebelum samun guru

January 16, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Guna taktik sengaja rempuh kenderaan dari belakang sebelum samun. Itu tindakan suspek yang menyerang sebelum menyamun seorang guru wanita berhampiran simpang masuk Jambatan Merah Jalan Utara, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun kerugian kira-kira 2,000 selepas beg tangan dilarikan oleh suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner, Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian mangsa memandu kenderaan seorang diri dari rumahnya di Taman Megah menuju ke tempat kerja di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Camry.

“Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan, lalu keluar dan bertemu dengan pemandu Camry (suspek) yang telah melanggar kenderaannya,” dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek bagaimanapun bertindak memukul mangsa dengan sebatang kayu namun sempat mengelak dan berlaku pergelutan.

“Suspek sempat merampas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kenderaannya.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan ke Balai Polis Sandakan untui membuat laporan polis,” katanya.

Abdul Fuad berkata, pihaknya sedang giat menjalankan usah mengesan suspek terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Polis (ASP) Kharuddin di talian 013-9071709 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/297 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X