KOTA KINABALU: Seorang kapten kapal dipenjara 18 bulan selepas mengaku bersalah menyeleweng 7,000 liter minyak diesel bernilai RM42,000 pada April tahun lalu.
Tertuduh, Jasmun Suhur, 60, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Noor Hafizah Mohd Salim, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Jasmun didakwa secara curang menjual 7,000 liter diesel milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.22 malam, 21 April 2023 dan jam 1.18 pagi, 22 April 2023 di atas kapal Express 71 di ERB West, dekat perairan Kota Kinabalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah amanah dengan menyalahgunakan harta (diesel) milik PETRONAS.
Kesalahan di bawah seksyen berkenaan boleh dihukum penjara antara setahun hingga 14 tahun dan sebatan, selain boleh didenda jika disabitkan.
Sebatan adalah hukuman mandatori bagi kesalahan jenayah pecah amanah tetapi tiada sebatan dikenakan ke atas Jasmun kerana tertuduh berumur lebih 50 tahun.
Berdasarkan fakta kes, aduan berhubung isu penyelewangan minyak diesel milik PETRONAS itu diterima daripada Upstream Logistics, PETRONAS pada 29 Mac 2023.
Sebelum itu, PETRONAS dikatakan memberi projek menghantar pekerja pelantar kepada Syarikat Sapura Energy Bhd yang kemudian melantik sub kontraktor, OCS Pro Asia Sdn Bhd untuk melaksanakan projek berkenaan.
Syarikat OCS Pro Asia pula menyewa sebuah kapal, iaitu Express 71 milik syarikat Bintang Samudera Sdn Bhd dengan tertuduh dilantik sebagai ketua kapal terbabit.
Menerusi projek itu, kapal yang digunakan diberi minyak diesel percuma daripada PETRONAS dan atas sebab itu, Express 71 menerima bahan api berkenaan dengan kuasa mengisi minyak terletak di tangan kapten.
Kedudukan tertuduh sebagai kapten kapal terbabit dan penerimaan minyak diesel secara percuma itu disahkan anak kapal Express 71.
Anak kapal turut mengesahkan bahawa tertuduh juga menjual minyak kepada pihak lain kerana ada melihat tertuduh menerima bayaran setiap kali ada orang memindahkan minyak diesel dari kapal Express 71 ke kapal lain.
Pertuduhan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dk Afiqah Alya Ak Johari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X