Search

Dua sekawan cari besi, kabel di kondominium terbengkalai ditemui maut

January 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hasrat dua sekawan mencari kabel dan besi untuk dijual di sebuah kondominium yang terbangkai di Jalan Istiadat, Likas di sini, berakhir tragedi apabila kedua-duanya ditemui maut, pagi tadi.

Mayat lelaki dan wanita berusia 43 dan 43 tahun ditemukan terlungkup di sebuah bilik penyimpanan tong gas dipercayai akibat terhidu gas karbon dioksida (CO2).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta pintu bilik tertutup di bangunan berkenaan, pada 9.30 pagi.

Katanya, menurut keterangan saksi bahawa kedua-dua mangsa adalah kenalannya dan mangsa wanita itu tinggal serumah dengannya.

“Pada 2 pagi tadi, kedua-dua mangsa memberitahu saksi, mereka ke bangunan berkenaan bagi mencari kabel dan besi untuk dijual.

“Setengah jam selepas itu, anak mangsa yang dijaga saksi menangis dan dia cuba untuk menghubungi salah seorang mangsa tetapi telefon bimbit gagal dihubungi.

“Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, saksi bersama seorang lagi rakannya ke bangunan itu untui mengcari mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba membuka pintu bilik bagi mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa. – Foto/Bomba

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik penyimpanan tong gas yang terkunci, menyebabkan saksi terus ke Pondok Polis Likas untuk memaklumkan kepada polis.

“Sepasukan bomba turut dipanggil bagi membuka pintu bilik dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian juga, pasukan bomba dan hospital mengesahkan bahawa kemungkinan kedua-dua mangsa meninggal dunia berpunca daripada terhidu gas karbondioksida.

“Siasatan di tempat kejadian juga tidak berlaku sebarang tanda-tanda unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian kedua-dua mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X