LABUAN: Polis sudah menerima 15 laporan membabitkan kes penipuan atas talian yang menawarkan kerja sambilan dan pelaburan tidak wujud, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, sindiket yang menawarkan penipuan berkenaan menggunakan aplikasi Ops Google sudah menyebabkan kerugian keseluruhan mencecah RM203,507.
Katanya, siasatan mendapati, sindiket berkenaan pada awalnya menggunakan aplikasi WhatsApp dengan mewujudkan satu group yang dikawalselia seorang admin bernama Olivia dan memasukkan seberapa banyak nombor kenalan.
“Sindiket menawarkan pulangan yang lumayan itu juga menggalakkan setiap pemilik nombor untuk merekrut kenalan masing-masing ke dalam group di aplikasi berkenaan.
“Semua mangsa kemudiannya ditawarkan dengan skim tugasan atau pekerjaan yang perlu dilakukan. Sindiket turut mengarahkan mangsa membeli tapak di dalam aplikasi berkenaan dengan harga RM5,000 hingga RM100,000,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, semua mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan orang awam juga dikatakan boleh membeli tapak aplikasi berkenaan berulang kali sehingga 1,000 transaksi.
Katanya, sindiket turut memperdayakan semua mangsa kononnya semakin tinggi modal maka keuntungan juga semakin lumayan.
“Apa yang perlu dilakukan mangsa adalah menonton video yang dimuatnaik di laman YouTube dan iklan-iklan ditayangkan sehingga tamat video yang dimainkan.
“Pada awalnya, semua mangsa mendapat pulangan terhadap pelaburan berkenaan namun sampai ke satu tahap, pengeluaran tidak lagi dapat dilakukan mangsa dan akaun mereka juga disekat.
“Malah, apabila mangsa cuba melayari aplikasi sebelum itu, bagaimanapun ia tidak lagi berfungsi dan mangsa juga dikeluarkan daripada group WhatsApp berkenaan,” katanya.
Mohd Hamizi berkata, semua mangsa membuat pembayaran modal atau pelaburan dan wang penyertaan melalui pelbagai jenis akaun yang terdiri daripada akaun persendirian dan syarikat yang disyaki akaun keldai.
Sehubungan itu, Mohd Hamizi menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dengan modus operandi seperti ini yang menawarkan peluang keuntungan tidak masuk akal.
Katanya, orang ramai juga boleh membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti menerusi laman sc.com.my/investor-alert atau laman Bank Negara di alamat bnm,gov.my/FCA.
“Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan atas talian, polis menggesa semua mangsa terlibat supaya segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya, panggilan dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipidnahkan lebih tinggi,” katanya. – Info X