Search

Lelaki tumbuk, pukul isteri guna tangkai vakum ditahan

January 18, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas menumbuk bekas isterinya dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini, kelmarin.

Malah, lelaki berusia 42 tahun terbabit turut dilaporkan memukul mangsa dengan menggunakan besi tangkai mesin pembersih vakum sehingga menyebabkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan diterima, polis berjaya menahan suspek pada jam 9.35 malam.

Katanya, polis turut berjaya merampas besi tangkai mesin pembersih vakum daripada suspek yang digunakan untuk memukul mangsa.

“Berdasarkan siasatan, pertengkaran antara kedua-dua mereka berlaku apabila suspek beranggapan bahawa mangsa berpakat dengan anak saudaranya untuk mengenakannya.

“Suspek yang juga bekas suami mangsa mengaku menumbuk dua kali di bahagian bawah dagu dan memukul mangsa menggunakan besi tangkai vakum,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Jasmin berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam dan calar di bahagian bawah dagu.

Katanya, suspek ditahan dan terus dibawa ke Balai Polis Tawau bersama barang rampasan kes untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A akta sama.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya. – Info X