KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot yang dinaiki 28 individu mencurigakan dari perairan Filipina menuju ke perairan Kota Kinabalu, petang semalam.
Semua 28 individu yang menaiki bot berkenaan ditahan APMM di kedudukan posisi 10.2 batu nautika utara Tanjung Luk Pisuk, Tuaran, jam 5.43 petang.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, hasil daripada pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) mengesan pergerakan bot yang mencurigakan dari perairan Filipina menuju masuk pe perairan daerah ini.
Katanya, bot peronda APMM yang sedang melaksanakan beberapa siri operasi diarahkan untuk menuju ke lokasi bot berkenaan bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati nama juragan tiada dalam salinan lesen bot selain dia bersama 12 orang penumpang penumpang mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati seorang penumpang mengemukakan kad pengenalan Malaysia, seorang individu lagi mengemukakan dokumen pas lawatan sosial.
“Empat individu lain mengemukakan sijil lahir dan selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mereka berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun.
“Dalam tangkapan berkenaan, salah seorang penumpang lelaki buta berusia 52 tahun dan sebuah keluarga terdiri daripada bapa bersama tiga anaknya berusia lingkungan 14 hingga 23 tahun.
“Empat wanita berusia 55 hingga 66 tahun turut berada dalam bot berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, bot, juragan dan penumpang diiring ke Jeti Maritim Sepanggar Kota Kinabalu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Juragan, penumpang dan bot ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.
Sementara itu, katanya APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas pegawai dan anggota agensi ini dan memohon semua komuniti maritim untuk menjadi ‘mata dan telinga’ APMM supaya sebarang jenayah laut dapat dibendung. – Info X