Search

Penyeludup petrol hilang di lautan, seorang lagi selamat

January 21, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang penyeludup diselamatkan manakala rakannya dipercayai hilang selepas melarikan diri ketika cuba menyeludup keluar minyak petrol di perairan Tanah Merah, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda APMM yang sedang dalam operasi mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan, jam 8.30 malam.

Katanya, pasukan APMM bertindak mengejar dan mengarahkan bot suspek berhenti menggunakan pembesar suara untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, bot berkenaan tidak memberikan kerjasama dan memecut laju menghala ke perairan Tanjung Batu, sebelum bertindak membuang lapan unit tong disyaki berisi minyak petrol.

“Dua suspek yang berada di dalam bot berkenaan bertindak terjun ke laut. Seorang lelaki berusia 41 tahun disyaki warga Filipina berjaya diselamatkan manakala seorang lagi tidak dapat dikesan.

“Bot yang menggunakan dua enjin sangkut 40 kuasa kuda setiap satu berjaya ditahan jam 9.15 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tong disyaki berisi minyak petrol yang dibuang ke laut dirampas APMM. – Foto/APMM

Menurutnya, semua rampasan termasuk petrol, bot dan enjin sangkut dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Semua minyak petrol yang berjaya dirampas itu dipercayai untuk dibawa ke negara jiran berdasarkan tujuan bot menghala ke sempadan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X