KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan dan penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk antara anggota sindiket dadah terbesar di Sabah yang akan dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu, esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan terhadap sindiket itu sudah selesai.
“Insya-Allah, semua akan dituduh esok (Isnin) di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan lebih RM7 juta aset milik satu sindiket dadah di Sabah yang didakwa diketuai seorang penaung badan NGO bergelar Datuk, dirampas.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aset itu disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Beliau berkata, sejak penahanan ketua dan anggota sindiket itu pada 25 Disember tahun lalu, polis merampas pelbagai aset antaranya 22 akaun bank dengan simpanan berjumlah RM420,000 yang dibekukan, 18 kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM100,000 serta wang tunai RM35,000.
Polis percaya penaung NGO itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah di luar Sabah sejak lebih lapan tahun lalu. – Info X