Search

Tangan tersepit dalam mesin pengisar, wanita putus semua jari

January 25, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita terpaksa dikejarkan ke Hospital Tawau selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, mangsa berusia 22 tahun terbabit parah dan dilaporkan putus semua jarinya.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.50 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa membabitkan seorang wanita pekerja di sebuah kafe yang tersepit tangan dalam mesin pengisar daging.

“Pasukan Bomba terus bertindak memotong mesin pengisar dan mengeluarkan tangan mangsa seterusnya diberikan rawatan awal,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut.

Pasukan bomba memotong mesin pengisar dan mengeluarkan tangan mangsa. – Foto/Bomba

“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang,” katanya. – Info X