PUTATAN: Kawasan setinggan di Kampung Tebongon, di sini, diserbu sepasukan polis dalam operasi bersepadu membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI), bermula jam 10 malam hingga 2 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi itu membabitkan kekuatan seramai 48 pegawai dan anggota polis, sembilan penguat kuasa Imigresen serta lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

“Operasi bersepadu dijalankan di kawasan setinggan di kampung berkenaan dan seramai 53 diperiksa iaitu mengikut pecahan 20 lelaki dan 33 wanita.
“Hasil pemeriksaan seterusnya, seramai 19 warga asing ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sammy berkata, semua individu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah untuk tindakan lanjut.

“Polis dan agensi penguatkuasa yang lain akan sentiasa menpergiatkan operasi bersepadu sebegini dalam usaha mengekang kemasukkan dan kebanjiran PATI di dalam daerah Penampang khususnya.
“Mana-mana majikan yang didapati melindungi atau menggajikan warga asing boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama. – Info X