Search

Sindiket judi ‘online’ di Penampang tumpas, 11 ditahan

January 29, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis Penampang berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian atas talian dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di bangunan kompleks komersial di daerah ini, Khamis lalu.

Hasil serbuan jam 2.10 petang itu, seramai 11 individu yang dipercayai bertindak sebagai pempromosi aktiviti perjudian berkenaan turut ditahan untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, serbuan turut dibantu Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta dua pegawai pakar judi, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

“Hasil serbuan, seramai 11 individu membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita tempatan serta warga asing ditahan.

“Polis turut merampas peralatan perjudian atas talian yang digunakan termasuklah 27 monitor komputer pelbagai jenama, 19 pemprosesan komputer (CPU) dan 33 telefon bimbit pelbagai jenama serta tiga komputer riba,” katanya dalam sidang di IPD Penampang, di sini, hari ini.

Sammy berkata, semua suspek didapati tidak mempunyai sebarang kes jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif.

Katanya, pihaknya percaya dengan tertangkapnya semua individu terbabit, polis berjaya mematahkan peranan dan kegiatan perjudian yang mensasarkan pelanggan luar negara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis akan mendapatkan nasihat lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa raya sebelum membuat pertuduhan di mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 serta hendaklah dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 5 tahun,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, seramai 12 individu berjaya ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan Pelaburan Cryptocurency yang tidak wujud secara atas talian.

Sammy berkata, serbuan dijalankan pada 24 Januari lalu itu, semua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Katanya, semua suspek melakukan aktiviti “Calling Centre” untuk memperdayakan orang ramai terutamanya melibatkan pelanggan daripada luar negara.

“Dalam serbuan ini, polis berjaya merampas 11 komputer, 19 telefon bimbit dan dua komputer riba serta peralatan komputer lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (AKTA 574) yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat dan juga denda,” katanya. – Info X