KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang di sungai Kampung Bulot, Tongod, di sini, semalam.
Mangsa berusia 24 tahun itu dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti di sungai berkenaan, sebelum laporan dibuat oleh orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nurul Azlan Shah Jamalluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.25 petang.
Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam.
“Sebaik tiba, pasukan bomba segera mendapatkan maklumat mangsa terbabit, sebelum operasi SAR dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan SAR menjalankan operasi dengan radius pencarian lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan SAR terpaksa menelusuri hilir sungai menggunakan bot penyelamat bersama dengan agensi lain dan orang awam.
“Pada hari kedua operasi dijalankan belum mendapat sebarang petunjuk penemuan mangsa dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X