Search

Tiga lelaki memandu mabuk dipenjara tujuh hari, denda RM10,000

January 31, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 masing-masing terhadap tiga lelaki selepas mereka mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.

Mohd Rejab Haris, 29, Rickmind Etenter Bantah, 35, dan Hasman, 33, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Rejab dan Rickmind didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sim Hwa Seng, kira-kira jam 12.50 tengah malam hingga 1.05 pagi, 7 Januari lepas.

Manakala, Hasman pula, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, kira-kira jam 11.45 malam, 25 Disember tahun lepas.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Sementara itu, Mohd Rejab turut dihukum penjara tiga hari lagi dan denda RM300 selepas melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen.

Majistret juga turut memerintahkan Mohd Rejab dan Rickmind tidak layak memegang lesen memandu selama dua tahun, manakala lesen memandu Hasman pula digantung dua tahun.

Don Stiwin dalam penghakimannya juga memerintahkan semua tertuduh dipenjara selama tujuh hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.    

Semua pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.

Katanya, hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan banyak risiko yang akan berlaku akibat memandu dalam keadaan mabuk.

“Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman yang lebih tinggi dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain,” katanya. – Info X