TAWAU: Tindakan seorang remaja perempuan membuat laporan palsu kehilangan MyKad akibat disamun, mengundang padah apabila ditahan polis, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat remaja terbabit mendakwa dirinya disamun ketika berada di perhentian bas, Jalan Tanjung Batu Tengah, Sabtu lalu.
“Remaja perempuan berusia 15 tahun itu mendakwa ketika kejadian dia didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali memakai helmet dengan menaiki motosikal, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Lelaki terbabit kemudian bertindak menarik beg tangannya yang mengandungi MyKad, Kad ATM dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dipercayai remaja terbabit sengaja membuat laporan palsu semata-mata untuk mendapatkan salinan laporan polis.
“Ia bagi menggantikan dokumen pengenalan diri selain mengelak daripada didenda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Jasmin berkata, pihaknya menegaskan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang laporan polis palsu atau tidak benar kerana ia menjadi satu kesalahan jenayah serta boleh menyebabkan kegusaran kepada masyarakat di daerah ini. – Info X