BEAUFORT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah masih meneruskan usaha memadam kebakaran membabitkan hutan di daerah ini dan Kuala Penyu, yang terbakar sejak petang semalam.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Penguasa Bomba, Kiniremmy Zikol@Lupi berkata, setakat pagi ini dilaporkan kebakaran hutan membabitkan keluasan 602.29 hektar dan masih merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya, kawasan yang dipadamkan setakat ini membabitkan keluasan 240.79 hektar iaitu 40 peratus daripada keluasan yang terbakar.
“Kebakaran membabitkan kawasan hutan iaitu di kawasan Kampung Purun Ulu, Kuala Penyu, Nukahan, Beaufort dan Melawaring. Kebakaran juga masih merebak ke kawasan berhampiran.
“Bagaimanapun operasi pemadaman sedang diteruskan dengan satu aliran, dua pancutan dari sumber air terbuka iaitu tali air menggunakan floating pump dan pemerap api,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengalami kesukaran mengawal kebakaran kerana api terlalu cepat merebak disebabkan angin kuat.
Tambahnya, kebakaran juga sukar dikawal berikutan keadaan hutan yang kering serta kawasan tanah gambut.
“Operasi pemadaman masih dijalankan serta pemantauan di kawasan yang terbabit dilakukan secara berterusan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, Ketua BBP Kuala Penyu Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.16 petang.
Sepasukan pegawai dan anggota bersama dua jentera digerakkan ke tempat kejadian sejauh 20 kilometer. Operasi turut dibantu Unit Drone bagi membuat tinjauan di kawasan sekitar kebakaran. – Info X