Search

Wisma SESB dikosongkan kerana keadaannya semakin usang

February 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Wisma Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di Karamunsing, di sini, bakal dikosongkan berikutan keadaan bangunannya yang dilaporkan semakin usang dan berdepan isu keselamatan.

SESB dalam kenyataannya hari ini, berkata bangunan 10 tingkat yang menempatkan ibu pejabat syarikat pembekal elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu mengalami keretakan dan kelemahan struktur.

Katanya, walaupun pelbagai usaha diambil untuk membaik pulih bangunan berusia 48 tahun itu, namun ia sukar diteruskan berikutan keadaannya yang semakin uzur.

“Sesuai dengan usia bangunan yang semakin meningkat, Wisma SESB tidak terlepas daripada beberapa masalah konkrit. Kelemahan bahan pembangunan dahulu yang banyak menggunakan pasir laut menyebabkan beberapa bahagian bangunan mengalami keretakan dan kelemahan struktur.

“Pelbagai usaha sudah diambil untuk menangani masalah keusangan itu termasuk merancang penstrukturan dalaman yang lebih moden dan kondusif agar dapat terus berfungsi sebagai pusat inovasi dalam industri elektrik.

“Kolaborasi dengan pakar teknologi tempatan dan penyelesaian inovatif seperti penggunaan ruang yang lebih baik turut menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan bangunan ini.

“Namun, usaha menyeluruh dalam pemuliharaan struktur bangunan ini secara berkala agar ia dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat Sabah tidak dapat diteruskan berikutan usia yang semakin uzur,” kata kenyataan itu.

SESB turut menyifatkan kekurangan ruang bagi menampung kemudahan moden dan berkualiti juga menjadi kekangan kepada usaha memperbaharui atau memodenkan bangunan berkenaan.

Berikutan itu, SESB bakal mengosongkan bangunan berkenaan dan berpindah ke pejabat baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat demi keselamatan kakitangannya dan orang ramai secara keseluruhannya.

Wisma SESB yang sebelum ini dikenali sebagai Bangunan BERJAYA pernah menjadi bangunan ikonik di Kota Kinabalu ketika era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada akhir 1970-an dan awal 1980-an.

Bangunan yang dibina pada 1976 itu pernah menjadi ibu pejabat BERJAYA yang dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1981, sekali gus menyimpan sebahagian sejarah politik Sabah.

Ia turut dilengkapi sebuah dewan dihiasi ukiran tradisional yang sering dijadikan venue untuk pelbagai acara, termasuk majlis perkahwinan selepas bangunan berkenaan diambil alih oleh SESB pada 1990-an.

Wisma SESB adalah antara bangunan lama di Kota Kinabalu bersama beberapa bangunan lain termasuk Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Wisma Tun Fuad, Kompleks Kuwasa, Wisma Dang Bandang dan Rumah Persekutuan.

Difahamkan pengosongan bangunan itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi memberi ruang kepada kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan secara makro. – Info X