TAWAU: Pura-pura mahu membeli telefon bimbit sebelum bertindak melarikan telefon pintar berkenaan dalam kejadian di sebuah premis di daerah ini, kelmarin.
Bagaimanapun suspek lelaki warga tempatan berusia 23 tahun berjaya diberkas polis dengan bantuan orang awam kira-kira 40 minit selepas melarikan telefon bimbit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian yang berlaku pada 4.02 petang itu, suspek dikatakan pergi ke kedai untuk melihat telefon bimbit jenis Samsung, jam 4.02 petang.
“Suspek berpura-pura mahu membeli telefon bimbit sebelum melarikan diri bersama telefon bimbit berkenaan. Menyedari kejadian itu pemilik premis bertindak mengejar suspek.
“Orang awam yang turut menyedari kejadian membantu menangkap suspek. Polis dari Unit Pencegahan Jenayah, Balai Polis Tawau tiba di lokasi selepas menerima maklumat dan memberkas semula suspek bersama barang yang dicuri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkait jenaya termasuk dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kerana tindakan pantas orang awam dalam memberi kerjasama kepada polis sehingga suspek berjaya diberkas. – Info X