Search

Padah ugut majikan dengan pisau

February 1, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki termasuk merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan ketika mengugut majikan dalam kejadian di kilang kayu, Batu 6, Jalan Apas, di sini, semalam.

Suspek warga asing berusia 29 tahun ditahan polis di kawasan kilang berkenaan, pada jam 10.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, menerusi laporan yang dibuat, mangsa lelaki berusia 67 tahun yang sedang menyusun kayu bersama seorang pekerjanya didatangi suspek sambil memegang sebilah pisau.

“Suspek kemudian bertanya kepada mangsa (majikan) apa yang majikannya tekan di komputer sehingga dia (suspek) hampir pengsan.

“Mangsa kemudian memberitahu bahawa dia tidak ada menekan komputer dan telefon bimbitnya juga ditinggalkan di dalam pejabat pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, polis turut merampas sebilah pisau beserta sarung sepanjang 30 sentimeter.

“Suspek juga adalah warga asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan diri yang sah.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/62,” katanya. – Info X