Search

Kerjasama STB – AirAsia perlu bertahan lama, perkasa pasaran pelancongan, kata Joniston

February 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai mahu kerjasama yang dijalinkan antara agensi berkenaan dengan AirAsia bertahan lama sekali gus memperkasakan pasaran pelancongan Sabah dalam kalangan negara Asia.

Katanya, dengan pembukaan semula penerbangan terus dari Jakarta ke Kota Kinabalu, sasaran Sabah untuk mencapai kehadiran pelancong sebanyak 2.8 juta tahun ini mampu dicapai.

“Kita mahu lebih banyak penerbangan AirAsia dari pelbagai lokasi di Asia sampai ke Kota Kinabalu.

“Penerbangan tiga kali seminggu Jakarta-Kota Kinabalu harap dapat ditambah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Menyambut Ketibaan Penerbangan AirAsia dari Jakarta-Kota Kinabalu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, Sabah turut mempunyai ramai penduduk dari Indonesia dan kini laluan ini memudahkan mereka kembali ke negara asal pada bila-bila masa.

Pada masa sama, katanya, rakyat Sabah juga boleh melancong ke Indonesia, sekali gus merapatkan hubungan sedia terjalin dengan negara berkenaan.

Katanya, STB juga mahu menerokai pasaran pelancongan di Asia memandangkan Sabah terletak di kedudukan sangat strategik.

“Kita mempunyai jiran seperti negara Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan ini sudah pasti akan menjadikan Sabah sebagai potensi besar dalam sektor pelancongan.

“Sabah juga dikurniakan kepelbagaian keunikan yang tidak dimiliki di negara lain,” katanya. – Info X