Search

Ibu cuba selamatkan anaknya, namun kedua-duanya lemas

February 7, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Wanita yang ditemukan lemas di kolam berhampiran rumahnya di Kampung Nasib Kita, di sini, semalam dipercayai cuba menyelamatkan anaknya sebelum dua beranak terbabit lemas.

Mayat Suriani Amir, 41, dan anak lelakinya Risdy Rudy, 7, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Tawau pada 10 hingga 12 tengah hari tadi.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah yang didapati terhadap kedua-dua mangsa.

“Selain itu tiada kesan lebam, hirisan, tetakan akibat kejadian jenayau ataupun kejadian rogol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, punca kematian kedua-dua mangsa adalah disebabkan mati lemas.

“Siasatan mendapati mangsa kanak-kanak dipercayai telah lemas di dalam kolam dan ibunya cuba untuk menyelamatkan namun tidak berjaya dan turut lemas bersama anaknya.

“Siasatan diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, wanita bersama anaknya ditemukan lemas di dalam kolam berhampiran rumah mereka di Kampung Mangga, Jalan Nasib Kita, semalam.

Kedua-dua mangsa ditemui oleh orang kampung dan seterusnya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Info X