Search

Remaja cedera, tangan tertusuk anak panah

February 8, 2024

Info X Reporters

RANAU: Seorang remaja lelaki cedera selepas tangan kanannya tertusuk anak panah ketika menangkap ikan, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 18 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba selepas sukar untuk mengeluarkan anak panah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan dari Kecemasan Hospital Ranau, jam 9.39 malam tadi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Ranau digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Mangsa lelaki tertusuk panah di tangan kanan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan dan telah berada di hospital.

“Pasukan bomba bertindak memotong besi panah menggunakan bolt cutter dan seterusnya diserahkan kepada hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keadaan mangsa stabil dan operasi tamat pada 9.53 malam. – Info X