Search

Warga emas maut dirempuh kereta

February 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran jalan bertingkat, Indah Permai, Sepanggar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa wanita Lau Suat Eng, 74, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 24 tahun dari Taman Bukit Setia sedang menghala ke tempat kerja di Manggatal.

“Sebaik tiba di tempat, ketika itu kereta dipandu lelaki terbabit berada di lorong dua dari kanan sebelum jalan bertingkat Indah Permai.

“Tiba-tiba sebuah van dari sebelah kiri menukar lorong masuk ke laluan kereta Proton Wira. Pemandu kereta kemudian mengelak ke kiri dan ketika hendak memasuki semula ke lorong asal, tiba-tiba terdapat seorang pejalan kaki wanita sedang melintas dari arah kanan ke kiri jalan.

“Oleh kerana jarak yang dekat, pemandu Proton Wira cuba menekan brek tetapi gagal berhenti sepenuhnya menyebabkan berlaku pelanggaran dengan pejalan kaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pejalan kaki maut dalam kemalangan berhampiran jalan bertingkat di Jalan Indah Permai, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, pejalan kaki tercampak ke cermin hadapan Proton Wira sebelum terbaring di atas jalan.

“Mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X