Search

Lelaki OKU dilaporkan hilang di Tuaran

February 13, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang di kawasan Kampung Tengkoringan, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, maklumat awal berkenaan mangsa warga tempatan berusia 42 tahun diterima pada jam 1.40 petang daripada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Katanya, sepasukan pegawai kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Berdasarkan maklumat daripada pengadu, mangsa adalah seorang OKU yang mengalami masalah mental.

“Mangsa lelaki terbabit hilang pada 10 Februari lalu ketika menjalankan aktiviti memotong rumput di tepi sungai Kampung Tengkoringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan pencarian di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang di Kampung Tengkoringan, Tuaran. – Foto/Bomba

Beliau berkata, pasukan Bomba termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) yang berada di lokasi menjalankan operasi SAR bersama beberapa agensi keselamatan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Turut membantu operasi terbabit ialah orang awam dan setakat ini mangsa belum ditemukan dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X