Search

Sembilan termasuk dua wanita terbabit sabung ayam diberkas

February 12, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Sembilan individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pertaruhan sabung ayam dalam ‘Operasi Limau’ di kawasan Batu 5, Jalan Apas, di sini, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan itu berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan.

Katanya, seramai tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta empat lelaki warga asing ditahan bersama seorang wanita pemegang kad pengenalan MyKas.

“Semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,200 dipercayai untuk kegiatan judi dan enam ekor ayam jantan.

Polis menahan sembilan individu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti judi sabung ayam di kawasan Batu 5, Jalan Apas, Tawau. – Foto/PDRM

“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan jenayah dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh terus menyalurkanya di Balai Polis berhampiran atau menghubungi talian hotline 089-772121 atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya. – Info X