Search

Dakwaan ADUN GRS disiasat SPRM, Gagasan Rakyat Kunak nafi Norazlinah terlibat

February 15, 2024

Info X Reporters

KUNAK: Walaupun video tular yang mendakwa seorang wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disiasat kerana memalsukan dokumen tidak menyatakan nama mana-mana individu, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kunak, hari ini, menafikan individu yang didakwa adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kunak, Bahri Lakile berkata, Norazlinah juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menghasilkan serta menyebarkan video berunsur fitnah berkenaan.

Katanya, ia bertujuan bagi melindungi reputasi dan kredibiliti Norazlinah selaku Wakil Rakyat di Kunak.

Beliau berkata, semalam telah tersebar satu klip video yang mendakwa seolah-olah Norazlinah terbabit dengan satu salah laku memalsukan dokumen sekali gus sedang dijejaki oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam klip video tersebut memaparkan kononnya Norazlinah terlibat memalsukan dokumen berbentuk lesen PUKONSA bagi melaksanakan kerja-kerja kontrak melalui peruntukan ADUN.

“Saya melihat bahawa tuduhan tersebut sangat jelas tidak berasas serta berniat jahat berdasarkan beberapa perkara seperti semua peruntukan kerajaan negeri Sabah adalah diuruskan melalui Pejabat Daerah sebagai agensi pelaksana,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bahri berkata, dalam Jawatankuasa Pejabat Daerah tiada penglibatan ADUN Kunak untuk kendalikan sebut harga, penilai dan pemutus untuk melantik kontraktor.

“Hasil semakan awal mendapati salinan lesen yang dikaitkan dengan perkara berkenaan adalah disahkan benar oleh Pejabat Daerah Kunak.

“Wakil Rakyat Kunak, tidak mempunyai sebarang kepentingan atau kaitan dengan pemilikan lesen yang dimaksudkan.

“Saya yakin dan ingin menegaskan kandungan serta penyebaran video tersebut adalah tidak berasas sekali gus berniat jahat bertujuan menjatuhkan reputasi dan kredibilitinya sebagai wakil rakyat Kunak,” jelas Bahri.

Beliau berkata, sekiranyanya terdapat sebarang perlanggaran syarat serta kesalahan dalam urusan terbabit, ia sepatutnya dirujuk kepada Pejabat Daerah Kunak yang menerima serta mengesahkan salinan lesen yang dimaksudkan. – Info X