SANDAKAN: Seorang lelaki akhirnya berjaya dipujuk dan dibawa turun dalam keadaan selamat selepas tiga hari berada di bumbung bangunan di Flat Sejati, di sini, hari ini.
Lelaki berusia 39 tahun dipercayai kurang siuman itu berjaya ditangkap dan di bawah turun dari atas bangunan dengan bantuan agensi lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, sebaik dibawa turun, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 2.08 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, usaha untuk memujuk lelaki dilakukan bersama pihak bomba, polis dan ahli keluarganya.
“Pasukan bomba turut berada di lokasi sepanjang tempoh terbabit bagi bersedia dengan sebarang kecemasan dan memastikan tiada bahaya berlaku sekiranya lelaki berkenaan bertindak di luar kawalan,” katanya.
Video memujuk lelaki terbabit oleh pasukan penyelamat turut tular di media sosial sejak Isnin lalu. – Info X