Search

Lelaki ‘Palauh’ samun dua wanita diberkas

February 16, 2024

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ‘Palauh’ ditahan polis selepas menyamun dua wanita dalam kejadian di Jalan Gaya, di sini, semalam.

Suspek berusia 18 tahun yang berasal dari Kampung Pondo, Pulau Gaya itu ditahan kira-kira jam 8 malam berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Gaya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, suspek ditahan selepas seorang mangsa wanita tempatan berusia 35 tahun membuat laporan polis.

Katanya, mangsa mendakwa diserang seorang lelaki sebelum disamun di lorong bahagian belakang sebuah bank di Jalan Gaya pada jam 12.59 tengah hari, 15 Februari lalu.

“Hasil siasatan, mangsa yang bekerja sebagai kerani di salah sebuah syarikat swasta dikatakan sedang berjalan seorang diri ke sebuah kedai berhampiran.

“Bagaimanapun, mangsa didatangi seorang lelaki secara tiba-tiba dari arah belakang yang bertindak menutup mulut mangsa sebelum menjatuhkan mangsa,” katanya.

Kalsom (tengah) ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Kalsom berkata, mangsa mendakwa turut ditumbuk di bahagian muka dan kepala sehingga mengalami kecederaan.

Katanya, suspek kemudiannya melarikan diri sebaik dapat mengambil dompet yang dibawa oleh mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan turut kehilangan wang tunai sebanyak RM50 serta dokumen peribadi.

“Kira-kira jam 7.30 malam hari sama, suspek berjaya ditahan pihak polis selepas dikejar orang awam berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Gaya.

“Siasatan mendapati, suspek lelaki yang tidak bekerja juga baharu melakukan satu lagi jenayah iaitu melarikan telefon bimbit seorang wanita berusia 36 tahun di Jalan Pantai di sini,” katanya.

Kalsom berkata, hasil soal siasat, suspek turut mengaku terbabit dengan kes samun di belakang sebuah bank di Jalan Gaya.

Katanya, suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 20 tahun dan beserta denda atau sebat. – Info X