TAWAU: Seorang pengawal kelab malam parah selepas ditetak ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan dalam kejadian di kawasan lorong, Bangunan Fajar, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun dilaporkan mengalami kecederaan bahagian belakang kepala dan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak saudara mangsa yang berusia 32 tahun.
Katanya, mangsa yang membuat laporan polis mendakwa, bapa saudaranya yang bekerja sebagai penjaga kelab malam terpaksa dirawat di unit kecemasan Hospital Tawau akibat ditetak.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara dua kumpulan di kawasan lorong Bangunan Fajar.
“Mangsa cuba meleraikan perselisihan faham berkenaan namun seorang suspek lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba bertindak menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang kepala dan tangan sebelah kiri.
Katanya, usaha mengesan suspek terlibat dalam kejadian itu sedang giat dilaksanakan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata,” katanya. – Info X