SANDAKAN: Cubaan seorang lelaki menyeludup minyak petrol ke negara jiran gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Tabangka, di sini, semalam.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan bot ronda PPM Sandakan, kira-kira jam 3.30 petang.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika menjalankan rondaan, mengesan sebuah bot laju jenis kayu bergerak dari laut Tabangka menuju ke arah laut lepas.
“Hasil pemeriksaan menemui dua tangki berisi petrol di ruangan bot disyaki cuba diseleweng ke negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM11,195,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X