KOTA KINABALU: Penjual ikan di beberapa pasar malam di sekitar bandar raya ini, didakwa menggunakan bahan pewarna untuk menjadikan ikan kelihatan segar.
Kebiasaannya mereka menggunakan pewarna merah untuk mencelup ikan yang berwarna merah, seperti ikan mata besar atau lebih dikenali sebagai ikan ‘Uji Rashid’ di Sabah.
Tindakan itu dipercayai bagi mengaburi pengguna dengan mendakwa ikan yang dijual mereka masih baharu dan segar berikutan warna merahnya yang lebih terang.
Perbuatan terbabit tular selepas gambar memaparkan seorang lelaki menuang pewarna merah dalam sebuah tong berisi ikan tular di media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan keterangan yang dikongsikan di sebuah laman Facebook, gambar terbabit didakwa dirakam di Pasar Malam Inanam, dekat sini.
“Info untuk semua..berhati-hati membeli ikan pada penjual yang tidak jujur supaya tidak tertipu. Penjual menggunakan serbuk pewarna untuk diletakkan pada ikan supaya ikan nampak lebih ‘fresh’. Lokasi Pasar Malam Inanam,” katanya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai maklum balas netizen dengan kebanyakannya meminta supaya pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan perbuatan berkenaan dihentikan.
Tidak kurang juga yang bimbang mengenai risiko kesihatan yang mungkin dihadapi pengguna jika membeli ikan dicelup pewarna.
Selain itu, ada juga netizen yang berkongsi maklumat mengenai perbuatan berkenaan yang bukan saja dikesan berlaku di pasar malam, malah turut didakwa dilakukan segelintir penjual ikan di Pasar Besar Kota Kinabalu. – Info X