Search

Lelaki pukul, samun pekerja bank di Jalan Gaya diberkas

February 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pekerja sebuah bank berdepan detik cemas apabila dipukul sebelum disamun dalam kejadian berhampiran sebuah hotel di Jalan Gaya, di sini, 16 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan kayu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, hasil siasatan awal, ketika kejadian mangsa sedang berjalan kaki untuk pergi ke tempat kerjanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa tiba-tiba didatangi seorang lelaki dan dipukul menggunakan kayu dari arah belakang.

“Mangsa cuba mempertahankan diri namun suspek bertindak memukul mangsa beberapa kali.

“Suspek kemudiannya menarik beg tangan milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kalsom berkata, mangsa cedera di kepala dan badan serta mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk telefon pintar dan wang tunai.

Katanya, kejadian sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun berjaya ditahan pada jam 2.30 pagi, semalam.

“Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya.

“Suspek positif dadah jenis metaphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Kalsom berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam.

“Ini kerana dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan mangsa.

“Elakkan juga ke tempat atau ke kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Terdahulu, tular klip video di aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi, memaparkan wanita dipukul sebelum dibeg duitnya seorang lelaki. – Info X