KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Tanah Persekutuan didakwa gagal mewartakan sebahagian besar tanah jabatan dan agensi persekutuan di Sabah menyebabkan kebanyakan tapak bangunannya, termasuk klinik kesihatan tidak bergeran.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata situasi itu berlaku di kebanyakan klinik kesihatan dan fasiliti lain yang berusia lebih 30 tahun.
Katanya, masalah timbul apabila kemudahan terbabit mahu dinaik taraf atau dibina semula kerana ketika ini projek pembangunan hanya boleh dilaksanakan selepas ada geran tanah untuk tapak terbabit.
Beliau memberi contoh, Klinik Kesihatan Tangkarason di Beluran yang musnah terbakar pada 15 Februari lalu kini berdepan masalah tapak untuk pembinaan semula bangunan kerana tanah yang diduduki sejak lebih 30 tahun lalu belum mempunyai geran hak milik.
“Kita mahu memgambil tindakan segera untuk membina bangunan klinik yang baharu tetapi apa yang menghalang kita ialah tanah tapak klinik itu belum dimohon oleh Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu Pesuruhjaya Tanah Persekutuan belum memohon tanah itu untuk KKM.
“Sudah lebih 30 tahun klinik itu dibina sebelum terbakar, namun sehingga kini belum ada geran tanah. Soalnya, apa yang Pesuruhjaya Tanah Persekutuan buat selama ini, kenapa berpuluh tahun belum dapat geran tanah,” katanya pada sidang media khas berkaitan masalah tanah tapak klinik kesihatan di negeri ini.
Beliau berkata, masalah sama dihadapi Klinik Kesihatan Mansiat di Sook, Keningau yang juga musnah dalam kebakaran pada Jun 2022.
Katanya, sehingga kini pembinaan bangunan baharu untuk klinik kesihatan itu tidak dapat dilaksanakan atas sebab belum ada geran tanah meskipun sudah beroperasi lebih 40 tahun.
“Sekarang, baru mahu mohon balik geran tanah sedangkan selama berpuluh tahun lalu Pesuruhjaya Tanah Persekutuan tidak menyelesaikannya. Pihak KKM tidak dapat membina semula klinik kerana tanah belum menjadi miliknya,” katanya.
James berkata, dakwaan kononnya masalah birokrasi dalam proses permohonan tanah di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah tidak wajar dijadikan alasan kerana sebagai agensi kerajaan, tanah untuk tapak klinik sepatutnya diberi keutamaan.
Katanya, apa yang berlaku ialah pengarah dan pegawai Pesuruhjaya Tanah Persekutuan tidak mengutamakan kerja dan berbincang dengan pegawai di JTU untuk mendapatkan geran tanah itu sehingga berpuluh tahun gagal diperolehi.
“Kalau betul-betul buat kerja, lima tahun saja sudah boleh dapat geran tetapi disebabkan tidak diambil langkah susulan, proses yang mengambil masa singkatpun boleh menjadi berpuluh tahun.
“Kesannya, rakyat di Sabah tidak dapat menikmati kemudahan yang sewajarnya, terutama klinik kesihatan yang sangat diperlukan mereka dan akhirnya kerajaan dan pemimpin yang menjadi sasaran kemarahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pengarah atau pegawai yang gagal melaksanakan tugas ditukar atau diturunkan gred jawatan sebagai pengajaran kepada semua penjawat awam dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, mengenai kerja menaik taraf klinik kesihatan di Sabah, James yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata sebanyak 23 projek yang dianggar bernilai lebih RM2 bilion dilaksanakan sejak 2009 hingga tahun ini.
Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 12 projek sudah siap pada tahun lalu, manakala bakinya masih dalam fasa pelaksanaan.
“Kita juga menyasarkan untuk memastikan semua lebih 50 klinik yang masih menggunakan bangunan kayu di Sabah dinaik taraf kepada bangunan konkrit dalam tempoh dua tahun dari sekarang,” katanya. – Info X