Search

Penjawat awam mengaku tidak bersalah menipu

February 20, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu dengan memberi butiran palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), lima tahun lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun yang bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di Tawau memohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Pengurus Pejabat Tempatan PERKESO Tawau, dengan memberi penyataan tidak benar mengenai tinggal bersama dua anaknya, sehingga mendorong pengurus berkenaan meluluskan bayaran Faedah Orang Tanggungan anak masing-masing bernilai RM9.1 sehari.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 C (2) dan (3) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan dilakukan di Pejabat Tempatan PERKESO Tawau pada 27 Mac 2019.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara di antara setahun hingga maksimum sepuluh tahun serta sebatan, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM2,000 serta seorang penjamin tempatan dan menetapkan 26 Mac depan bagi pengurusan kes.

Tertuduh turut dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di Pejabat SPRM dan diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom menjalankan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X