Search

Kes jenayah di Kota Kinabalu turun 60 peratus

February 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Usaha pencegahan jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sekitar pusat bandaraya sejak tiga bulan lalu berjaya mengurangkan 60 peratus kadar kes jenayah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya berjaya menyelesaikan beberapa kes dengan penangkapan penjenayah dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Katanya, antara tindakan diambil termasuk program tinjauan mesra atau walkabout setiap hari membabitkan empat kumpulan pada waktu pagi dan malam.

“Pelaksanaan operasi ini dijalankan di sekitar pusat bandar dengan dibahagikan kepada empat zon meliputi kawasan bandar yang pesat dengan aktiviti perniagaan, perbankan serta pelancongan bagi pegunjung tempatan dan asing.

“Zon A meliputi kawasan bermula Pondok Polis Warisan Square sehingga kawasan Pasar Besar ke pusat beli belah Suria Sabah manakala Zon B menghala ke Anjung Senja sehingga pusat beli belah Imago,” katanya kepada media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kawasan lain juga membabitkan zon C dijalankan di kawasan Sinsuran ke Wisma Merdeka diikuti Zon D bagi kawasan kritikal iaitu lokasi tumpuan ramai di Jalan Gaya, Asia City, Kampung Air sehingga Hotel Mercure.

Katanya, program walkabout bersepadu yang dilakukan pada waktu puncak bermula Jumaat sehingga Ahad itu turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Ia bagi meningkatkan kekerapan rondaan dan meluaskan kawasan rondaan sepanjang aktiviti Pasar Malam Gayastreet dan Tamu Gaya pada pagi Ahad.

“Program walkabout bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan masyarakat dengan kehadiran pihak polis di lokasi tetapi memastikan penjenayah tidak melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang di lokasi berkenaan.

“Usaha ini juga bagi memastikan jenayah tidak dilakukan secara berleluasa sehingga ditularkan dan menjejaskan aktiviti pelancongan di sini,” katanya.

Menurutnya, program walkabout berjaya merekodkan penurunan 60 peratus jenayah berbanding jumlah sebelumnya termasuk kes samun, pecah kenderaan serta jenayah lain.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, Op Payung turut dilaksanakan di beberapa kawasan tumpuan ramai yang tidak dapat dihadiri pasukan walkabout antaranya Pasar Filipina, Sadong Jaya serta Aeropod dengan keberadaan polis secara statik di kawasan terbabit.

Katanya, pasukan polis yang bertugas dalam Op Payung bukan sekadar statik tetapi turut menjalankan rondaan di zon yang ditetapkan bagi membantu orang awam mencegah jenayah serta melaksanakan tangkapan.

“Pihak Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) IPD Kota Kinabalu turut melancarkan Op Poket yang dilaksanakan pegawai serta anggota tanpa memakai seragam polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Polis Trafik.

“Mereka akan membuat pemeriksaan fizikal terhadap individu yang mencurigakan sebelum membuat tangkapan bagi penjenayah.

“Kejayaan Op Poket yang dijalankan Balai Polis Karamunsing dan Kota Kinabalu membuahkan hasil apabila banyak merekodkan tangkapan berkualiti membabitkan penagih dadah, suspek kes samun, ragut serta pecah kenderaan selain menahan individu yang memiliki peralatan pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, ia disusuli dengan rondaan kenderaan peronda polis (MPV) di zon program walkabout dengan lebih kerap bagi mengesan serta menahan penjenayah di kawasan masing-masing.

“Kita juga melaksanakan Team Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang banyak membantu mengesan individu dikehendaki melalui kerja risikan secara berterusan di dalam zon terbabit.

“Usaha ini penting kerana apabila penjenayah belum ditahan, mereka berpotensi melakukan lebih banyak jenayah sebagai contoh dua suspek pecah kereta baru-baru ini didapati melakukan tujuh kes dan suspek kes samun pula melakukan dua kes sebelum berjaya ditahan pihak polis.

“Tangkapan yang dilaksanakan dalam tempoh singkat berjaya mengelakkan kegusaran orang awam dan mengurangkan kes jenayah setempat,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, pihak polis akan mengkaji serta meningkatkan operasi bagi mencegah jenayah yang masih berlaku walaupun pelbagai operasi sudah dilaksanakan di lokasi tumpuan ini.

“Kita akan mengkaji operasi serta kaedah tambahan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan bentuk sumbangan dan peranan penugasan dalam menjaga keamanan dan keselamatan bagi warga bandaraya, peniaga serta pelancong yang datang ke sini,” katanya. – Info X