Search

Seorang ahli kumpulan haram diberkas di Kota Kinabalu

February 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang ahli pertubuhan haram berjaya ditahan dalam operasi Op Cantas yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Lelaki warga tempatan berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pertubuhan yang dikenali sebagai Armada Jalinan Borneo (AJB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, suspek ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, hasil pemeriksaan polis turut merampas beberapa barang pertubuhan berkenaan yang disyaki menyalahi undang-undang mengikut Akta Pertubuhan 1966.

“Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendapati kumpulan ini tidak berdaftar.

“Pertubuhan ini dipercayai hanya ada di Kota Kinabalu dan Lahad Datu yang disyaki menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, siasatan juga mendapati pertubuhan berkenaan kini mempunyai seramai kira-kira 10 orang ahli.

“Susulan penahanan suspek terbabit, pasukan serbuan merampas sehelai baju warna hitam tertera logo kumpulan berkenaan dan nombor 7.

“Turut dirampas satu helai kertas tertera ikrar angkat sumpah majlis kumpulan berkenaan dan lapan keping borong permohonan keahlihan kumpulan terbabit,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindalan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli kumpulan pertubuhan ini dan membabitkan jenayah kumpulan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966,” katanya. – Info X