Search

Op Dadu: 5 termasuk wanita ditahan terbabit judi dalam talian

February 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai terbabit kegiatan judi dalam talian melalui Op Dadu selama tiga hari yang berakhir semalam.

Operasi berkenaan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, operasi serbuan dijalankan di lima premis di daerah ini, Penampang dan Keningau.

“Hasil operasi itu pasukan serbuan menahan empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun.

“Pasukan serbuan turut merampas empat telefon bimbit dan wang tunai RMM2,451 yang disyaki hasil kegiatan judi dalam talian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan disyaki terbabit dengan kegiatan perjudian dalam talian.

“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu, Penampang dan Keningau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1954,” katanya.

Salah seorang suspek ditahan kerana didapati menjalankan perjudian dalam talian. – Foto/PDRM

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan bagi membanteras kegiatan judi dalam talian di negeri ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan judi dalam talian diharap dapat menyalurkannya bagi sama-sama membanteras kegiatan itu,” katanya. – Info X