TUARAN: Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) bekerjasama dengan agensi pelancongan seperti Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk menjadikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Sama 2024 yang bermula Sabtu ini sebagai tarikan pelancong.
Setiausaha Agung PRBSS, Datuk Abdul Kassim Razali, berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di peringkat persekutuan untuk mempromosikan festival tahunan itu.
Katanya, usaha itu bagi memeriahkan lagi sambutan festival berkenaan, di samping memperkenalkan kebudayaan rumpun Bajau Sama kepada masyarakat luar, termasuk pelancong luar.

“Selain itu kita juga menjemput operator pelancongan lain di Sabah untuk sama-sama membawa pelancong bagi menyaksikan festival yang diadakan itu nanti,” katanya pada sidang media penganjuran Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Sama 2024, di sini, hari ini.
Festival yang akan diadakan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, dekat sini itu dijadual disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Februari ini.
Sementara itu, Abdul Kassim yang juga Pengerusi Pelaksana Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah 2024, berkata pihaknya menganggarkan kira-kira 10,000 pengunjung bakal memeriahkan festival itu kali ini yang berlangsung selama empat hari.
Mengenai persiapan festival, beliau berkata Pusat Kebudayaan Rumpun Bakau Sama Sabah sudah dilengkapkan dengan prasarana yang diperlukan untuk memastikan penganjuran festival itu berjalan lancar.
“Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah 2024 sudah bersedia untuk menerima orang ramai hadir yang mana program ini akan bermula pada 24 Februari sehingga 28 Februari iaitu acara perasamian penutupan yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri.
“Program ini akan berlangsung seperti mana juga pada tahun lalu, namun pada tahun ini kita ada penambahan aktiviti yang boleh disertai oleh orang ramai seperti bengkel tarian tradisi rumpun Bajau Sama dan bengkel bermain alat muzik suku kaum Bajau Sama.
“Orang ramai boleh hadir dan kita mempunyai jurulatih yang mahir untuk mengendalikan bengkel itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Kassim berkata pelbagai acara menarik diadakan bagi memeriahkan festival termasuk pertandingan Bintang Soromas atau nyayian Bajau Sama, Betitik atau permainan alat muzik tradisi Bajau Sama, Ratu Sarimpak atau prrtandingan busana Bajau Sama dan sukan rakyat.
“Untuk pertandingan Soromas iaitu pertandingan nyayian lagu-lagu Bajau Sama, ia melibatkan peserta dari setiap daerah yang mempunyai cawangan PRBSS.
“Mereka akan berentap untuk memilih penyanyi yang akan menjuarai Soromas dan juara ini nanti akan dipilih oleh persatuan untuk membuat rakaman lagu Bajau Sama.
“Begitu juga dengan pertandingan Ratu Sarimpak iaitu pertandingan memperagakan busana Bajau Sama atau rumpun Bajau Sama.
“Pada kali ini juara Ratu Sarimpak akan mendapat tajaan biasiswa percuma untuk meneruskan pengajian di Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF),” katanya.
Abdul Kassim berkata, penganjuran festival berkenaan adalah satu wadah untuk mengembangkan budaya Bajau Sama supaya tidak hilang ditelan zaman.
Berikutan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai sepanjang festival itu termasuk pada hari kemuncak yang akan disempurnakan Ketua Menteri pada 28 Februari ini. – Info X