Search

Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan di Penampang

February 22, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dalam dua serbuan berasingan di Pekan Donggongon, di sini, pada 16 dan 20 Februari lalu.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang melakukan serbuan susulan maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan pertama menahan suspek berusia lingkungan 20 tahun.

“Hasil pemeriksaan fizikal menemui empat paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.20 gram dianggarkan bernilai RM1,050.

“Tangkapan kedua membabitkan lelaki berusia lingkungan 40 tahun memiliki enam paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.42 gram dengan nilai pasaran 1,100,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine hasil daripada ujian saringan awal air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata, pihaknya menyarankan masyarakat terutamanya ibu bapa untuk sentiasa mengawasi anak-anak supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Masyarakat juga diminta terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” katanya. – Info X