Search

RM5.15 juta nilai rampasan Ops Tiris hingga 15 Feb

February 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak RM5.15 juta nilai rampasan direkodkan membabitkan minyak diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak paket, dan gula putih bertapis sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 3.0 di seluruh negara bermula 1 Januari sehingga 15 Februari tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi jumlah itu, sebanyak RM4.76 juta adalah rampasan melibatkan minyak diesel , petrol RON95 (RM90,611), LPG (RM154,189) , minyak masak (RM107,759) dan gula sebanyak RM35,737.

Katanya, semua hasil rampasan berkenaan adalah membabitkan 3,257 pemeriksaan dan merekodkan 330 kes ketirisan.

“Selain itu, seramai 65 individu juga telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Dalam pada itu, Sabah sahaja mencatatkan 221 pemeriksaan dengan bilangan 29 kes dan jumlah rampasan barang kawalan bernilai RM192,845,” katanya.

Armizan berkata demikian ketika sidang media selepas Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang Kawalan Bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan di Negeri Sabah, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, sebanyak 15,927 periksaan telah dilakukan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis sepanjang penguatkuasaan Ops Tiris 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2023.

Menurutnya, statistik yang direkodkan memperlihatkan sejumlah 877 kes
termasuk 386 kes serahan agensi telah dihasilkan dengan kuantiti rampasan
sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel bernilai RM14.2 juta manakala nilai rampasan selain diesel berjumlah RM42.1 juta.

“Seramai 554 orang warganegara tempatan, 112 orang warganegara asing dan dua orang penduduk tetap telah ditahan yang menjadikan jumlah keseluruhan 668 orang di seluruh negara,” katanya. – Info X