Search

Kilang disyaki ‘usik’ meter SESB diserbu

February 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua kilang diserbu kerana disyaki melakukan pengusikan terhadap pepasangan meter milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di premis berkenaan di Tuaran, semalam.

Serbuan menerusi Op Letrik dijalankan sepasukan polis Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah dan jurutera SESB.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, serbuan pertama membabitkan kilang sejuk beku di Jalan Sulaman Gayang, Tuaran, kira-kira jam 5 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh jurutera SESB mendapati terdapat pengusikan pepasangan meter yang menyebabkan bacaan meter milik SESB tidak tepat.

“Pihak jurutera SESB mengesahkan telah berlaku kecurian arus elektrik digunakan pada premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, susulan itu, seorang penjaga premis berkenaan lelaki berusia 28 tahun ditahan.

“Serbuan kedua di membabitkan premis yang menjalankan perniagaan berasaskan sumber laut di Kampung Batangan Baru, Jalan Gayang, Tuaran, jam 6.45 petang, hari yang sama.

“Pemeriksaan pada pepasangan meter di premis itu oleh jurutera SESB mendapati turut terdapat pengusikan pada pepasangan meter yang menyebabkan bacaan meter milik SESB tidak tepat dan mengesahkan berlaku kecurian arus elektrik,” katanya.

Menurutnya, penjaga premis lelaki berusia 47 tahun ditahan dan kedua-dua tangkapan dibawa ke pejabat JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut.

Peralatan yang dirampas pasukan serbuan dalam Op Letrik di Tuaran. – Foto/PDRM

“Pasukan serbuan turut merampas barang-barang yang digunakan untuk pengubahsuaian letrik di premis berkenaan.

“Akibat perbuatan dua kilang yang mengusik pepasangan meter ini menyebabkan SESB mengalami kerugian bernilai RM85,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. – Info X